Pesuruhjaya Tinggi Kehakiman Muhammad Jamil Hussein menjatuhkan hukuman itu terhadap Herman Mohd Amin, 33, setelah berpuas hati terhadap pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Herman dituduh membunuh Eyu Ah See, 73, semasa cuba memecah masuk kediaman mangsa di Jalan Pasar, Batu Pahat dengan niat untuk melakukan rompakan pada 11 September 2014.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Jamil juga menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap tertuduh setelah dia didapati bersalah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dalam kejadian sama.
Herman dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap Yeo Thian Gark, 63, di antara 9 hingga 9.30 pagi pada 11 September 2014 di alamat sama.
Dalam prosiding pendengaran keputusan kes itu hari ini, peguam bela tertuduh S Vijayaretnam merayu kepada mahkamah agar meringankan hukuman anak guamnya atas alasan Herman berbuat demikian kerana cuba mempertahankan diri ketika diserang Eyu.
Namun, rayuan itu ditolak kerana pihak pendakwaan merasakan kesalahan yang dilakukan tertuduh serius sehingga menyebabkan kehilangan satu nyawa.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal.
–BERNAMA