Soalan bodoh ‘karbon sifar’ cetus perbalahan

Soalan bodoh ‘karbon sifar’ cetus perbalahan

Gara-gara bertanyakan mengenai status negara karbon sifar, seorang wakil rakyat dipanggil "bodoh" kerana Malaysia negara penghasil petroleum dan minyak sawit.

Su-Keng-Siong

KUALA LUMPUR:
“Negara karbon sifar 2030” mencetuskan perbalahan antara ahli Parlimen BN dan pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

Mereka mula berbalah apabila Su Keng Siong (DAP-Ipoh Timur) menuduh kerajaan Barisan Nasional tidak bersungguh dalam menangani isu perubahan iklim.

Wakil rakyat DAP itu turut mempertikaikan mengapa kerajaan masih mengalakkan syarikat penghasil gas rumah kaca sedangkan Malaysia telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan kesan rumah kaca sebanyak 45%.

Tersentap dengan tuduhan-tuduhan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Wan Jaafar membidasnya dengan berkata: “Bodoh. Diam. Dengar penjelasan saya. Setiap hari kamu bangun, buka tingkap dan tengok yang buruk-buruk sahaja.”

Wan Junaidi menjelaskan wakil rakyat DAP itu tidak faham maksud “karbon sifar” dan memberitahu Dewan bahawa Malaysia tidak mungkin capai status negara karbon sifar.

“Hanya dua negara mampu capai status itu. Bhutan, sebuah negara terpencil yang dilitupi 75% hutan dengan penduduk seramai 750,000 orang.

“Satu lagi ialah Bandar Vatican, seluas 0.45km dan penduduk seramai 1,000.”

Keng Siong dalam soalan lisannya sebelum itu bertanyakan samada kerajaan mempunyai rancangan untuk menjadikan Malaysia negara karbon sifar.

Wan Junairi menjelaskan Malaysia tidak boleh menjadikan status itu sebagai sasarannya memandangkan negara merupakan penghasil petroleum dan minyak sawit.

“Adakah kita mahu tutup ladang-ladang dan industri-industri untuk mencapai status itu? Kita tiada rancangan untuk mencapai status itu menjelang 2030,” katanya, dan menambah kerajaan bagaimanapun melaksanakan usaha kearah neutral karbon bagi mengimbangi pelepasan karbon.

“Jangan guna terma itu kalau tak faham,” katanya kepada Keng Siong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.