Syahril Mohamad, 30, berkata pelbagai perkara mereka lakukan untuk kekal bertenang dan tidak berfikir yang bukan-bukan.
“Ada waktu kami menyanyi sekuat-kuatnya semata-mata untuk menghilangkan tekanan, selain menenangkan diri, malah kami turut membuat isyarat SOS menggunakan kabus dengan harapan ada kapal dagang yang melihat,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di lautan selepas dilaporkan hilang di Pulau Aur, Mersing, Khamis lalu ialah melihat puntianak dan terjumpa sekumpulan ikan lumba-lumba.
Korperal Mohd Firdaus Jalil, 34, yang juga salah seorang daripada kumpulan pemancing hilang berkenaan berkata dia menggunakan segala pengalamannya selama 10 tahun sebagai anggota polis ketika berdepan situasi panik itu.
Firdaus yang berkhidmat di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata beliau cuba bertenang dan membantu menenangkan rakan lain ketika tahu saluran minyak bocor dan bekalan minyak habis.
“Ada waktu keadaan jadi tegang antara kami dan tekong, namun kami berusaha untuk cuba menenangkan antara satu sama lain dan saya turut mengajak mereka sentiasa berfikiran positif.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur apabila melihat kelibat helikopter Maritim semalam. Tiada kata-kata yang terkeluar, hanya mampu mengucapkan syukur kepada dan mahu segera pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.