Teknologi itu yang pertama seumpamanya di dunia, diusahakan bersama penyelidiknya dan kemudian diaplikasikan ke dalam bentuk produk iaitu penyembur penghalau serangga yang menggunakan bahan organik.
Nasuha berkata produk itu yang dinamakan ‘Natural Repellent’ mengandungi enam jenis herba yang ditanam di ladangnya seluas 1,295 hektar di Jalan Muar-Pagoh dekat sini.
“Apabila digunakan penyembur penghalau serangga berbentuk pati wap ini, ia bertindak menutup lubang pernafasan nyamuk Aedes yang akan menyebabkannya mati serta merta.
“Ia dihasilkan menggunakan teknologi hijau dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada manusia dan alam sekitar kerana kita menggunakan bahan organik dan bebas daripada bahan kimia dan racun yang mampu mendatangkan kesan sampingan kepada manusia,” katanya.
Nasuha, yang juga pemilik Budayatama Corporation Sdn Bhd, syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan herba berkata dengan penggunaan dos yang sedikit, produk itu juga boleh menyembuhkan penyakit batuk kerana ia mampu menghilangkan cecair dalam paru-paru manusia.
Ia juga sesuai digunakan pekebun bagi menghalau dan membunuh serangga serta kulat perosak tanpa menggunakan racun dan bahan kimia bagi melindungi hasil tanaman mereka.
Katanya, dalam zaman teknologi moden sekarang, masyarakat perlu berubah dengan tidak menggunakan bahan mengandungi racun dan bahan kimia kerana ia akan mendatangkan kesan sampingan kepada darah manusia.
Ditanya bagaimana ilham produk itu tercetus, Nasuha berkata semuanya bermula daripada hasil kajian yang dilakukan bersama penyelidik terhadap daun yang dimusnahkan serangga.
“Hasil kajian membuktikan daun tersebut juga boleh mendatangkan kesan toksik kepada serangga dan kita berjaya membuat satu formula campuran herba ini sesuai untuk menghapuskan serangga perosak termasuk nyamuk Aedes,” katanya.
— BERNAMA
