Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan memanggil Wee untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya itu.
“Saya rasa Wee tidak wajar untuk melakukan sedemikian kerana sebagai wakil negara di ekspo antarabangsa, dia (Wee) sepatutnya mempromosikan negaranya dan sistem penerbangan tempatan.
“Kita patut menggalakkan pelancongan dan sistem penerbangan terbang di Malaysia. Saya akan panggil dia untuk minta penjelasan,” katanya pada satu sidang media di Grad Hyatt Hotel, hari ini.
Malay Mail Online pada Jumaat melaporkan Wee dikatakan mengarahkan kakitangannya membuang iklan AirAsia yang dipamerkan di gerai Malaysia dalam Ekspo Pelancongan Antarabangsa China (Beijing) ke-4.
Portal berbahasa Inggeris itu memetik sumber sebagai berkata Wee juga mengoyakkan iklan AirAsia yang dipamerkan di ekspo berkenaan.
Wee sebelum ini secara terbuka menyerang AirAsia dengan mendakwa syarikat penerbangan itu mempunyai hutang cukai lapangan terbang lebih RM50 juta.
Wee yang juga bekas ahli PKR pernah mendakwa Liow dan MAHB gagal mematuhi kewajipan dalam syarikat penerbangan.
Pada Julai tahun lepas AirAsia Berhad memfailkan saman fitnah terhadap Wee kerana mendakwa beliau menulis artikel berunsur fitnah dan merendah-rendahkan tahap kemampuan AirAsia di blognya www.weechookeong.com.