Tol elektronik mampu kurangkan 30-50% kesesakan

Tol elektronik mampu kurangkan 30-50% kesesakan

Pelaksanaan ETC bukan untuk membebankan rakyat kerana sebelum ia dilaksanakan pelbagai kajian telah dibuat bagi memudahkan rakyat.

Datuk-Rosnah-Abdul-Rashid-Shirlintoll-naik

KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan bayaran tol secara elektronik (ETC) dapat mengurangkan 30 hingga 50% masalah kesesakan trafik di plaza tol seluruh negara sekali gus menjimatkan masa pengguna jalan raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, matlamat kerajaan adalah untuk melaksanakan ETC sepenuhnya pada 2018.

“Kita melihat ia sangat penting dalam usaha kita mengurangkan kesesakan di plaza-plaza tol seluruh negara.

“Malah, kita menjangkakan kalau kita dapat melaksanakan sepenuhnya (ETC), lebih daripada 30 peratus atau lebih daripada 50 peratus kesesakan dapat dikurangkan dan 2018 adalah target kita memperkenalkan secara total,” katanya selepas merasmikan ASEAN Premier Mechanical and Electrical Engineering Show 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Rosnah turut menafikan kononnya pelaksanaan ETC akan membebankan rakyat kerana sebelum dilaksanakan pelbagai kajian telah dijalankan untuk memudahkan rakyat.

“Sistem ini bukan untuk membebankan pengguna sebaliknya ia untuk menyediakan kemudahan. Malah sebarang masalah yang dihadapi pengguna, pengguna boleh merujuk pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) hari ini mengumumkan pelaksanaan ETC sepenuhnya di 18 plaza tol bagi enam lebuh raya bermula jam 12 tengah hari 1 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.