Belilah tanah rizab Melayu ikut nilai pasaran

Belilah tanah rizab Melayu ikut nilai pasaran

Menggunakan status tanah rizab Melayu untuk membeli tanah pada harga rendah adalah zalim, kata wakil rakyat AMANAH dan UMNO

tanah-rizab-melayu-1

KUALA LUMPUR:
Ahli-ahli Parlimen hari ini mengingatkan kerajaan supaya berlaku adil ketika membeli tanah rizab Melayu dan membayar mengikut harga pasaran, bukannya bawah harga pasaran mengikut status tanah.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) berkata orang Melayu menjadi mangsa apabila kerajaan membeli tanah daripada mereka pada harga rendah.

“Tanah rizab Melayu bertujuan untuk membantu orang Melayu tetapi sebaliknya dimangsakan kerajaan.

“Menggunakan status tanah rizab Melayu untuk membeli tanah pada harga rendah adalah zalim,” kata Khalid ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 2016.

Menyokong peringatan itu adalah Othman Aziz (BN-Jerlun) dan Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang mempertikaikan mengapa Jabatan Penilaian meletakkan nilai yang rendah pada tanah rizab Melayu.

“Nilai tanah tidak sepatutnya berdasarkan kepada status (tanah rizab Melayu). Sepatutnya berdasarkan kepada nilai pasaran,” kata Hasbullah, dan menambah Kerajaan Persekutuan sepatutnya menunjukkan contoh dengan meletakkan nilai yang lebih tinggi daripada harga pasaran apabila membeli tanah rizab Melayu.

“Apa salahnya menawarkan lebih tinggi? Bukannya kerajaan akan rugi atau muflis jika berbuat demikian.

“Kita (kerajaan) mampu memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jadi apa masalahnya (membayar lebih untuk tanah rizab Melayu)?”

Hasbullah berkata kerajaan boleh mengaut keuntungan yang lebih besar sekiranya tanah itu dimajukan, dan sebagai contoh, rumah yang dibelinya sendiri dan dijual dengan keuntungan besar.

“Saya beli sebuah rumah di Pandan Indah pada harga RM68,000 dan menjualnya pada harga RM360,000. Ini semua kerana pembangunan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.