
MS Marry, 29, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Daim & Gamany dan menamakan Ketua Polis Negara, sembilan pegawai PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Marry, seorang suri rumah, menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, ganti rugi untuk serangan dan serang sentuh ke atas si mati, ganti rugi kecuaian, ganti rugi keingkaran tanggungjawab statutori defendan, faedah dan lain-lain relif dari mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu yang hadir ke mahkamah bersama-sama anak lelakinya berumur lima tahun, mendakwa defendan dengan sengaja melakukan serangan dan serang sentuh ke atas Dharmendran semasa dalam tahan polis sehingga menyebabkan kematiannya.
Beliau mendakwa kematian suaminya itu disebabkan keingkaran tanggungjawab statutori mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1967 oleh defendan.
Marry berkata suaminya mempunyai pendapatan RM1,700 dan kematian mengejutnya itu mengakibatkan beliau mengalami kehilangan, kerugian, penderitaan mental dan duka yang melampau.
Dharmendran berusia 34 tahun. Dia ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.
Pada 26 Februari lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Inspektor S Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka didakwa membunuh Dharmendran, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei 2013.
Pada 28 April lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 akibat penggunaan kekerasan fizikal oleh polis.
Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata laporan bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013, mendapati kematian Dharmendran disebabkan ‘diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma’.
— BERNAMA