6 – 9 jam di meja pejabat, tingkatkan risiko obesiti

6 – 9 jam di meja pejabat, tingkatkan risiko obesiti

Wanita cenderung menghabiskan lebih banyak masa di meja pejabat berbanding lelaki.

obesity_gemuk_600

PETALING JAYA:
Kajian Herbalife mendedahkan 81% rakyat Malaysia membelanjakan purata 6 hingga 12 jam sehari di meja pejabat menyebabkan mereka mengharungi gaya hidup tidak aktif sekali gus meletakkan mereka pada risiko tinggi obesiti.

Herbalife mengendalikan soal selidik, ‘Pemakanan di Tempat Kerja’ membabitkan 5,500 pekerja sepenuh masa di 11 negara, termasuk 500 dari Malaysia untuk menilai gaya hidup dan sikap tenaga kerja moden di Asia Pasifik.

Menurut kajian Herbalife, Malaysia direkod sebagai negara paling gemuk di Asia Tenggara selepas 86% daripada pekerja negara ini menghabiskan sekurang-kurangnya 6 jam sehari duduk di meja pejabat, dengan 50% makan tengah hari di meja pejabat sekitar dua hingga lima kali seminggu.

Laporan The Edge Markets memetik, 86% daripada tenaga kerja Malaysia bersenam kurang daripada tiga kali seminggu, dengan 70% mendapat kurang daripada 30 minit aktiviti fizikal sehari di tempat kerja mereka.

Pengurus Besar Serantau Herbalife Malaysia dan Singapura, Sridhar Rajagopalan berkata masalah ini berkait rapat dengan gaya hidup dan budaya.

Pecahan kajian itu juga menunjukkan wanita cenderung menghabiskan lebih banyak masa di meja pejabat berbanding lelaki, dengan 67% memilih untuk menghabiskan 6-9 jam di meja pejabat berbanding lelaki 64%.

Kajian yang sama juga mendedahkan tenaga kerja millennials (yang lahir pada era millenium) kurang aktif daripada bukan millennials, dengan 70% mungkin membelanjakan antara 6-9 jam di meja mereka setiap hari berbanding dengan 64% bukan millennials.

Sekitar 52% daripada golongan millennials mungkin makan di meja mereka berbanding dengan 45% daripada bukan millennials.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.