Dalam rakaman video itu, seorang lelaki dipercayai pekerja gerai durian di Taman Sri Gombak kelihatan seperti meludah durian yang sedang dibungkus.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan jika terbukti melakukan kesalahan.
“Kami akan memanggil peniaga berkenaan dan akan siasat perkara ini. Jika didapati melakukan kesalahan, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
“Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan tiada penahanan. Unit peronda sudah memantau lokasi malam tadi tetapi peniaga berkenaan sudah tiada,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Difahamkan gerai durian itu beroperasi di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.