Bubar Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang – PERKASA

Bubar Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang – PERKASA

Penubuhan jawatankuasa itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

perkasa-nyah

PETALING JAYA:
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak kerajaan Pulau Pinang membubarkan Jawatankuasa Transgender yang baru ditubuhkan Selasa lalu.

Ahli Dewan Tertinggi PERKASA, Dr Amini Amir Abdullah menyifatkan tindakan meluluskan penubuhan jawatankuasa itu sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan tindakan semborono kerajaan negeri pimpinan DAP.

“PERKASA berpendapat kelompok transgender tidak sepatutnya diberi layanan istimewa sama ada di hospital, penjara atau tandas berasingan kerana jantina mereka adalah jelas lelaki.

“PERKASA juga berasa kesal kerana kerajaan DAP Pulau Pinang tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam isu yang berkaitan dengan perkara halal dan haram.

“Masih ramai komuniti lain yang memerlukan perhatian dan bantuan berbanding dengan kelompok transgender,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amini Amir yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA berkata, golongan transgender tidak mendapat sebarang pengiktirafan dalam Islam.

“Ini kerana mereka yang melakukan penyerupaan (tasyabbuh) jantina sama ada dari segi tutur kata, tingkah laku, pakaian dan perhiasan serta seumpamanya adalah haram dan berdosa besar.

“Kebanyakan ulama berpendapat, mengubah ciptaan Allah adalah haram hukumnya termasuklah menukar jantina,” katanya.

Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang yang dilobi ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sejak tujuh tahun lalu akhirnya ditubuhkan selepas mendapat persetujuan wakil rakyat lain.

Selain Yee Cheu yang dilantik sebagai pengerusi sementara, jawatankuasa itu turut dianggotai Lim Siew Khim (DAP-Sungai Pinang), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok), Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar), Shariful Azhar Othman (BN-Bertam), Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) dan Salleh Man (PAS-Permatang Pasir).

Jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat pertamanya di Dewan Undangan Negeri kelmarin untuk membincangkan aktiviti buat golongan transgender di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.