Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, ahli perniagaan berusia 41 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Permata, Batu
Caves pada jam 8 pagi tadi.
“Motif sebenar suspek membuat panggilan itu masih belum diketahui dan suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Mohd Adnan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
Menurut laporan China Press pula, difahamkan polis berjaya mengenal pasti identiti dan nombor telefon pemanggil itu daripada syarikat telekomunikasi pada jam 6 pagi tadi.
Menurut sumber yang dipetik akhbar berbahasa Cina itu, polis sedang mendapatkan rakaman perbualan telefon daripada pihak pengurusan lapangan terbang itu dengan harapan boleh memperolehi lebih banyak maklumat.
Polis mengesahkan kejadian semalam adalah kes panggilan palsu dan lapangan terbang itu sudah kembali beroperasi seperti sedia kala.
Semalam, sebuah pesawat komersial dalam penerbangan ke Singapura terpaksa berpatah balik ke Subang selepas menerima panggilan yang mendakwa terdapat bahan letupan di dalam pesawat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din dilaporkan sebagai berkata, pesawat yang membawa 30 penumpang dan empat kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada jam 7.39 malam Selasa.
Menurut laporan Sin Chew Daily yang memetik Mohd Zaini sebagai berkata, pesawat terbabit membuat pendaratan cemas di Subang pada jam 8.20 malam, selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat bom dalam pesawat itu kira-kira jam 8 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan kira-kira tiga jam tidak menemui sebarang bom dalam pesawat itu.
Menurut laporan itu lagi, selepas panggilan pertama terputus, suspek terbabit bertindak membuat panggilan kedua untuk memaklumkan terdapat bom di dalam pesawat.
