Kelemahan kawalan punca kuota rumah untuk Melayu tidak dipatuhi

Kelemahan kawalan punca kuota rumah untuk Melayu tidak dipatuhi

Pelepasan melebihi kuota Melayu itu menyebabkan pegangan minimum 30% hartanah kuota Melayu di luar bandar dan 10 peratus di kawasan bandar tidak tercapai seperti ditetapkan.

perumahan-1

MELAKA:
Kelemahan terhadap kawalan kuota Melayu untuk projek perumahan swasta di negeri ini ialah antara punca kuota Melayu untuk enam pemaju tidak dipatuhi, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Pengauditan yang dijalankan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka dan Lembaga Perumahan Melaka mendapati, pelepasan melebihi kuota sepatutnya itu juga menyebabkan pegangan minimum 30% hartanah kuota Melayu di luar bandar dan 10 peratus di kawasan bandar tidak tercapai seperti ditetapkan.

Sepatutnya lima pemaju mengekalkan kuota Melayu minimum 30%, tetapi masing-masing hanya mengekalkan kuota 28%, 25%, 21% dan 6.9%.

Satu lagi pemaju yang sepatutnya mengekalkan kuota 10% langsung tidak mengekalkan sebarang kuota Melayu.

Audit mengesan kelemahan pelaksanaan kawalan tersebut iaitu prestasi keseluruhan kuota Melayu tidak dapat diukur, pegangan minimum kuota Melayu di beberapa projek tidak tercapai, tiada pemantauan serta penguatkuasaan berkala dan tiada pemantauan terhadap harga diskaun hartanah kuota Melayu.

“Pengurusan kuota Melayu terhadap projek perumahan swasta di Melaka adalah memuaskan daripada aspek proses pelepasan kuota Melayu tetapi mekanisme kawalan kuota Melayu perlu diberi penekanan dan penambahbaikan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut kadar diskaun untuk penjualan hartanah kuota Melayu adalah antara lima hingga 15% berdasarkan kadar harga jualan antara RM25,001 dan melebihi RM200,000 namun PTG Melaka tidak melaksanakan kawalan terhadap diskaun tersebut.

“Tiada rujukan pengesahan harga jualan dilakukan kerana tiada peraturan atau garis panduan yang ditetapkan seperti syarat iklan jualan dan meletakkan harga jualan dalam iklan dikeluarkan,” kata laporan itu.

Sehubungan itu, audit mengesyorkan penubuhan unit khas untuk pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan kuota Melayu dalam pemilikan hartanah terjamin.

Audit mengesyorkan penyediaan daftar utama sebagai rujukan mengenal pasti perubahan, pelepasan dan maklumat lain mengenai kuota Melayu; menguatkuasakan Sijil Layak Memiliki Rumah dengan serta-merta bagi menghalang manipulasi harga diskaun dan menguatkuasakan denda kepada pemaju yang ingkar arahan mengemukakan laporan projek secara terperinci.

Sebanyak 8,045 unit hartanah dibangunkan 59 pemaju menerusi 63 projek yang diluluskan antara 2013 dan 2015 di Melaka.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,027 unit hartanah adalah kuota Melayu.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.