Tertuduh Che Mohd Shamsul Che Ab Rahman, 36, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Azem Fatihi Kamal, lapor Harian Metro.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara lapan bulan dan dua sebatan. Tuduhan kedua, dia dihukum penjara 24 bulan dan tiga sebatan.
Majistret mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu mencabul kehormatan dua mangsa berusia 18 tahun dalam kejadian berasingan di Jalan Kemudi dan Beris Lalang, Jelawat di Bachok masing-masing di antara jam 6.30 petang hingga 8.30 malam, 2 Mei 2016 dan 8.30 malam hingga 5 pagi, 3 Mei 2016.
Mengikut fakta kes, lelaki itu minta wang RM2 daripada mangsa dan membacakan ayat tertentu sebelum menyerahkan kembali wang itu kepada wanita itu.
Mangsa kemudian tidak sedar dan dipukau sebelum kehormatannya dicabul dalam kejadian di Kampung Kemudi.
Bagi kes kedua, tertuduh dikatakan pergi ke rumah mangsa dan mengaku sebagai bomoh sebelum meminta barang bagi tujuan perbomohan iaitu kelapa parut, belacan dan pewangi ketiak serta membakarnya di dalam dulang.
Sisa pembakaran disapu ke muka mangsa dan menjadikan wanita itu tidak sedar dan dipukau sebelum dia dicabul dalam kejadian di Beris Lalang, Jelawat.