
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, bapa kanak-kanak lelaki itu yang berusia 40-an telah dikenal pasti namun polis belum menahannya untuk disoal siasat.
“Kami akan siasat suspek untuk penganiayaan, kecuaian, pengabaian dan pendedahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gambar kanak-kanak bogel itu tersebar di Facebook sejak Sabtu lalu, selepas penduduk di sebuah rumah pangsa di Paya Terubong, Pulau Pinang ternampak kanak-kanak malang terbabit duduk dalam lopak kencingnya di tangga.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung terbabit, Frankie Kee berkata kanak-kanak terbabit dirantai di bahagian buku lali kirinya selama lima jam, mulai 10 malam Sabtu sehingga 3 pagi Ahad.
Kee berkata, suspek juga mengugut akan mencederakan sesiapa sahaja yang cuba membantu kanak-kanak terbabit.
Suspek merantaikan anaknya di tangga dalam keadaan bogel kononnya kerana mangsa nakal.
Baca: Bapa kejam rantai anak bogel di tangga gara-gara nakal