
Bagi saya, tarikh itu tidak membawa apa-apa makna, kecuali sudah sampai ke pertengahan bulan dan hampir sampai ke pertengahan tahun. Lain daripada itu, tiada apa-apa.
Tetapi bagi ibu saya, lain ceritanya. Dia yang lahir pada tahun 1955 ketika peristiwa 13 Mei, baru berusia 14 tahun. Masih muda, lagi-lagi pada tahun 1969, apalah sangat pendedahan yang diberikan kepada seorang remaja atau kanak-kanak berumur 14 tahun.
Kalau sekarang lain ceritanya. Remaja berusia 14 tahun sekarang, tahu banyak perkara. Mereka sudah memiliki ruang privasi sendiri, hak untuk bercakap, beri pandangan dan menentukan apa yang mahu, mungkin juga sudah memiliki telefon pintar atau I-Pad sendiri.
Ibu saya, pada usia 14 tahun, apalah sangat yang dia tahu.
Bagaimanapun kejadian yang menimpa negara, khususnya kota Kuala Lumpur telah menyedarkan dia apa maksud kehidupan dan bencana yang dilalui negara hasil sikap manusia yang hilang rasa toleransi.
Setiap tahun menjelang hari ini, ibu akan ingatkan saya dan bercerita mengenainya. Sekarang umurnya 61 tahun, saya masih tidak serik mendengar pengalamannya. Saya pula terus menunjukkan rasa keprihatinan dan ingin tahu. Tahun demi tahun ada sedikit yang berubah, tak mengapa, mungkin faktor usia dan kesihatan. Ada yang dia lupa, ada yang dia mengagak, ada yang dia ingat, katanya ingat sampai mati.
Ketika itu keluarga ibu tinggal di sebuah estet dekat Rawang, Estet Bukit Munchong. Ternyata kawasannya tidak terkesan lagipun ketika itu jarak dari Kuala Lumpur ke Rawang boleh dikatakan agak jauh. Berbeza sekarang, sekali tekan pedal minyak sudah boleh sampai ke Rawang.
Pada usia itu, ibu saya berhenti belajar dan mula bekerja sebagai penoreh getah. “Sewaktu kejadian 13 Mei, estet kami tidak terkesan, mungkin kerana lokasinya agak dalam. Tetapi arwah mak dan bapa terkesan kerana selalu keluar masuk estet untuk bekerja luar selain membeli barang.
“Saya masih ingat, kami dengar pasal rusuhan kaum yang berlaku. Satu estet riuh berkata Cina dan Melayu saling membunuh. Arwah mak dan bapa saya pula tiada pilihan tetapi kena keluar estet termasuk ke Kuala Lumpur. Mereka bercerita bagaimana terlalu banyak pemeriksaan dilakukan. Kami juga mendengar khabar angin, Melayu, Cina saling membunuh. Ada yang cerita, orang India juga dibunuh,” kata ibu saya.
“Saya sangat takut. Macam-macam orang kata. Kali pertama saya dengar perkataan rusuhan (dalam bahasa Tamil),” jelas ibu.
Walaupun tidak tahu secara mendalam tentang tsunami politik yang melanda negara pada Pilihanraya Umum 1969 sehingga menyebabkan Peristiwa 13 Mei, apa yang ibu diberitahu ialah;
“Saya tak berapa pasti. Apa orang kata, Barisan (Barisan Nasional) kalah dan buat kekecohan, bunuh Cina. Ada yang kata parti Cina (DAP) menang dan balas dendam, bunuh Melayu,” katanya.
“Ibu tak fikirkah nasib orang India atau nasib keluarga ibu? Apa orang di estet (yang kebanyakan terdiri daripada bangsa India) kata?,” tanya saya.
Kata ibu, segelintir orang India yang agak berada ketika itu memilih untuk balik India. Katanya mereka takut Malaysia bukan negara yang selamat.
“Rata-rata kami (di estet) buntu. Kami mana ada duit nak pergi mana-mana. Kami sudah menerima hakikat ini negara kami hidup dan mati.
“Kami fikir, kalau mati pun biar orang Melayu dan Cina serta sebilangan besar komuniti orang Asli yang ada di sini tanam kami,” jelasnya lagi.
Ibu juga bercerita, rentetan peristiwa 13 Mei, pada akhir tahun 1970 berlaku banjir besar di Kuala Lumpur.
“Pasca Peristiwa 13 Mei, berlaku banjir besar yang sangat teruk di Kuala Lumpur. Satu KL tenggelam. Orang semua kata banjir itu berlaku untuk ‘membersihkan’ kebencian dan kekejaman yang telah berlaku. ‘Membersihkan’ kesan darah daripada pembunuhan yang berlaku.”
Setiap kali dia bercerita kisah 13 Mei, dia pasti akan bercerita mengenai banjir itu sekali. Baginya, orang dulu percaya banjir itu sebagai pencuci segala dosa dan sumpahan yang menimpa Malaysia.
“Ketika banjir pula Mak Su kamu dirawat di Hospital Besar KL. Dia sakit tenat, kena sawan. Hari-hari kami berdoa minta mak, bapa dan adik bongsu pulang. Abang saya yang ulang-alik untuk untuk memeriksa keadaan adik bongsu, menghantar duit hasil pendapatan harian dan pergi dan bawa pulang pesanan. Walaupun Peristiwa 13 Mei sudah berlalu ketika itu, kami masih dalam ketakutan.
“Kami semua takut mendengar perkataan ‘Kuala Lumpur’. Pada kami, ia tempat pembunuhan. Jadi bila arwah mak, bapa, adik bongsu di hospital KL dan abang pula ulang-alik, kami trauma kalau-kalau sesuatu terjadi,” cerita ibu saya lagi.
Kini, lain pula gambarannya terhadap kota metropolitan itu. Ibu amat menghargai erti kebebasan dan perpaduan yang kita kecapi sekarang.
Pesan ibu, janganlah besarkan atau terlalu emosi dengan sesuatu perkara membabitkan isu sensitif. Biar kita bersabar tetapi dapat hidup bahagia dan selamat.
“Kesabaran itu bukan bermakna kalah, ia bermakna kita menang untuk hidup bersatu.”