Tak salah PAS, AMANAH bergabung tumbangkan BN

Tak salah PAS, AMANAH bergabung tumbangkan BN

Ini bagi memastikan misi untuk mengalahkan BN/UMNO tercapai

mahfuz-pas-amanah
PETALING JAYA: PAS dan AMANAH disaran bergabung bagi memastikan musuh utama mereka, BN/UMNO dapat dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerjasama itu juga dapat memastikan PAS dan AMANAH tidak bertembung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Maka wajarlah setiap parti memahami kekuatan semasa politik parti masing-masing serta pengaruh semasa berdasarkan komposisi pengundi pelbagai kaum dan pergolakan politik di Malaysia dan di kerusi Kuala Kangsar serta Sungai Besar.

“Yang penting kedua-dua parti ini perlu duduk berbincang ambil pendekatan situasi menang-menang demi rakyat dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pelawaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada PAS untuk kembali menyertai Pakatan Harapan.

Mahfuz berkata, walaupun itu bukan faktor utama kekalahan pembangkang di Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, tetapi ia cukup untuk memberi mesej mengelirukan kepada pengundi dan rakyat secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS dan AMANAH perlu duduk bersama dan berbincang bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti pembangkang.

Jelasnya, tidak salah untuk kedua-dua parti itu berbuat demikian bagi memastikan fokus utama, iaitu menewaskan BN/UMNO tercapai.

“Tidak salah untuk PAS duduk berbincang dengan AMANAH yang merupakan parti lahir daripada pergolakan krisis dalaman PAS yang dianggap pengkhianat jika itu boleh membantu membina kembali imej PAS di persada politik Malaysia.

“Tidak salah juga untuk AMANAH berbincang dengan PAS parti yang mereka begitu marah untuk mencari formula bagi mengalahkan UMNO/BN. Kepada AMANAH saya harap buang kemarahan pada PAS dan kepada PAS juga buang rasa geram pada AMANAH,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.