Menyusuli laporan polis yang dibuat terhadapnya hari ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu tampil membuat laporan balas di Balai Polis Sekinchan, petang tadi.
Jamal berkata, tuduhan Ali Tinju terhadapnya adalah berniat jahat dan bertujuan untuk mencemar nama baiknya dan keluarganya.
“Disini saya ingin menafikan (kononnya saya ingin menembak dan membunuh Ali Tinju) dan pernyataan tersebut adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya.
“Saya berharap polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam tangkap layar laporan polis Jamal yang diterima FMT.
Terdahulu, Ali Tinju membuat laporan polis di IPD Dang Wangi dan mendakwa Jamal menghubungi petang semalam lalu mengugut akan memukul dan menembaknya.
Ali sebelum itu dilaporkan berkata BN akan kalah teruk dalam pilihan raya kecil Sungai Besar yang akan diadakan tidak lama lagi sekiranya Jamal dipilih sebagai calon gagasan itu.
Kenyataan itu menyusuli program burger percuma untuk warga Sekinchan dan Sungai Besar anjuran Jamal. Beliau menafikan program burger itu merupakan kempen politik tersembunyi bagi melobi dirinya sebagai calon BN.