Lesen 400 pengusaha bot batal gara-gara degil

Lesen 400 pengusaha bot batal gara-gara degil

Alasan pengusaha mendaratkan hasil tangkapan di luar negara kononnya Malaysia tidak mempunyai kelengkapan diperlukan adalah tidak benar kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

bot laut dalam

PASIR PUTEH:
Lesen pengusaha bot laut dalam akan dibatalkan jika mereka masih berdegil mendaratkan hasil tangkapan di negara jiran.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, sejak larangan itu dikuatkuasakan tahun lalu, lesen 400 pengusaha bot laut dalam telah dibatalkan kerana didapati melanggar syarat lesen termasuk mendaratkan hasil tangkapan di negara jiran.

“Kita akan pantau setiap pergerakan mereka di laut menerusi satelit dan monitor skrin di ibu pejabat dan jika didapati mereka keluar dari perairan negara, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dan jika gagal menjawab dengan tepat lesen akan dibatalkan,” katanya selepas berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Perikanan Kelantan di Tok Bali malam tadi.

Lebih 500 pengusaha bot laut dalam dan nelayan pantai menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Mohd Zin Saat.

Ismail berkata, setakat ini terdapat 1,277 pengusaha bot laut dalam di seluruh negara.

Beliau berkata, lebih 30 tahun industri perikanan laut dalam beroperasi dan sepanjang tempoh itu sepatutnya industri itu sudah berkembang maju dengan wujudnya pelbagai industri hiliran yang menyediakan banyak pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Tetapi disebabkan dalam kalangan mereka ada yang tidak jujur dengan mendaratkan ikan di luar negara, menyebabkan industri itu sehingga sekarang masih di tahap lama dan tidak berkembang maju.

“Sepatutnya kita bukan sahaja mampu menampung bekalan ikan yang mencukupi dalam negara, tetapi berupaya mengeksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, alasan yang diberikan pengusaha terbabit kononnya dalam negara tidak mempunyai kelengkapan diperlukan untuk mendaratkan hasil tangkapan menyebabkan mereka terpaksa mendaratkan ikan di luar negara adalah tidak benar kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

Beliau berkata, jabatannya akan memperketatkan peraturan termasuk mewajibkan setiap pengusaha bot mengisi borang keluar masuk di pelabuhan perikanan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.