Empangan Bukit Merah di paras berjaga-jaga

Empangan Bukit Merah di paras berjaga-jaga

Paras semasa kolam takungan itu adalah 7.04 meter hari ini, meningkat 0.15 meter berbanding 6.88 meter yang dikategorikan sebagai paras kritikal pengairan tahap satu semalam.

zainol-fadzi_tasik-bukit-merah_600

TELUK INTAN:
Paras air di Empangan Bukit Merah kini memasuki paras berjaga-jaga berbanding paras kritikal sebelum ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Menurutnya, paras semasa kolam takungan itu adalah 7.04 meter hari ini, meningkat 0.15 meter berbanding 6.88 meter yang dikategorikan sebagai paras kritikal pengairan tahap satu semalam.

“Peningkatan paras air sejak beberapa hari lepas pastinya memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Kerian, Kamunting, Taiping serta kawasan perindustrian,” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Zainol Fadzi berkata, peningkatan paras air di empangan itu disebabkan hujan di beberapa stesen cerapan di kawasan tadahan termasuk Batu 14 Sungai Kurau, Pondok Tanjung, Kampung Sempeneh serta Bukit Merah semalam.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri Perak akan menyalurkan bekalan air secara minimum iaitu 5,663.4 liter sesaat (200 cusec) ke kompartmen G dan H, mulai Ahad ini yang membabitkan 4,697 hektar di kawasan pertanian di Selinsing dan Gunung Semanggol yang terjejas akibat cuaca panas ekoran fenomena El Nino.

Keputusan itu dilakukan semalam berikutan paras semasa Empangan Bukit Merah yang kian meningkat ekoran hujan yang turun setiap hari dan telah menunjukkan peningkatan kepada paras kolam Bukit Merah.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.