Ini kerana tegasnya, Mohd Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju tidak setaraf dengannya.
“Kalau Ali Tinju ini saya malas dah nak komen. Dia bukan ‘standard’ saya nak komen. Saya tak nak komen mengenai apa-apa berkaitan Ali Tinju,” katanya ringkas kepada FMT.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ali Tinju bahawa BN akan kalah teruk jika menurunkan Jamal pada PRK Parlimen Sungai Besar, susulan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak Khamis lalu.
Ali Tinju dilaporkan sebagai berkata, BN bukan saja akan kalah, malah parti itu bakal membazirkan wang dan tenaga jika menurunkan Jamal.
Musuh ketat Jamal itu berkata, Gerakan Baju Merah juga tidak akan membantu kempen BN pada PRK Sungai Besar jika Jamal menjadi calon BN, sebaliknya beliau dan ahlinya akan berkempen untuk BN di Parlimen Kuala Kangsar.
Semalam, Jamal menyenaraikan tujuh calon berpotensi untuk mewakili BN bagi berdepan Pilihan Raya Umum akan datang dan berkemungkinan calon itu akan dipilih bagi mewakili BN pada PRK Sungai Besar nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, susulan kematian Noriah dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter, minggu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang tipis di Parlimen Sungai Besar apabila Allahyarhamah Noriah menewaskan calon PAS dengan majoriti 399 undi.
