Setakat jam 4 petang tadi, iaitu satu jam sebelum pintu pusat mengundi ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata peratus keluar mengundi sekadar 52% sahaja.
Mengulas perkembangan itu, Jeniri berkata sentimen anti-kerajaan yang rendah lantaran tarikan Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sejak menjadi Ketua Menteri dua tahun lalu menyebabkan orang ramai tidak berasa terdesak untuk keluar membuang undi.
“Bila adanya sentimen anti-kerajaan yang tinggi, peratus keluar mengundi akan tinggi,” katanya, dan menjelaskan dalam keadaan seperti itu penyokong kedua-dua belah pihak mahu memastikan parti pilihan masing-masing menang.
Beliau menambah sentimen anti-kerajaan yang ketara pada 2011 tidak dirasai dalam pilihan raya kali ini.
Profesor madya Unimas itu juga berkata peratus keluar mengundi yang rendah pasti menjejaskan usaha pembangkang, terutamanya di kerusi-kerusi marginal.
Faktor lain, menurut Jeniri, adalah pemilihan tarikh pilihan raya yang dekat dengan sambutan Gawai.
Beliau menjelaskan pengundi di kawasan pedalaman yang bekerja di Semenanjung Malaysia atau bandar-bandar utama di Sarawak berasa payah untuk pulang untuk beberapa jam semata-mata untuk membuang undi memandangkan mereka akan pulang ke kampung halaman tidak lama lagi, dalam masa kurang dari sebulan.
“Sebenarnya, perjalanan ke kawasan pedalaman tidak mudah. Dalam pilihan raya lalu, kawasan pedalaman seperti Marudi dan Telang Usan mencatatkan peratus keluar mengundi kurang daripada 55%.”
Sementara itu bagi kawasan-kawasan bandar, peratus keluar mengundi yang rendah boleh dikatakan kerana ‘Dilemma Cina’.
“Orang Cina berada dalam dilemma. Mereka suka Adenan, tetapi tidak sukakan Barisan Nasional. Jadi, lebih untuk mereka tak keluar mengundi.”
Beliau juga berpendapat pertelagahan antara parti-parti kawan di kedua-dua belah pihak tidak menjadi penyebab kerana peratus keluar mengundi berlaku secara meluas.
Sebelum ini, SPR menjangkakan peratus keluar mengundi untuk PRN Sarawak akan mengatasi 80%. Dalam pilihan raya 2011, peratus keluar mengundi mencecah 70%.