KFA bukan berniat guris hati Aliff Syukri

KFA bukan berniat guris hati Aliff Syukri

KFA berharap Aliff Syukri memahami sebab KFA menolak tajaan yang ingin diberikan itu.

bashah,aliff

PETALING JAYA:
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tampil menegaskan penolakan tajaan RM30 juta daripada D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai kata persetujuan bersama.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan itu juga dibuat disebabkan syarat-syarat yang dikemukanan pengasas D’Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sebelum ini tidak dapat ditunaikan.

“Bagi saya keputusan seperti ini adalah lumrah selepas dua pihak mengadakan perbincangan dan ia tidak sepatutnya menyebabkan hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

KFA juga menegaskan tidak mempunyai niat untuk mengguris dan memperkecilkan perasaan Datuk Aliff mahupun peminat bola sepak Kedah.

Bashah juga berharap Aliff Syukri memahami keputusan yang telah diputuskan KFA dan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak lain selepas ini bagi memajukan bola sepak Kedah.

“Buat peminat pasukan negeri Kedah sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa KFA bukan persatuan yang sedang mengalami masalah, kami masih berjalan seperti biasa dan bersemangat untuk memajukan sukan yang sudah sebati dengan rakyat negeri Kedah.

“Saya akur bahawa dengan penajaan ia mampu membantu pasukan, namun ia terpaksa kami tolak buat masa ini kerana kedua pihak gagal mencapai persetujuan dalam semangat menang-menang,” katanya.

Konflik antara kedua pihak mula menjadi perhatian umum apabila KFA menolak tajaan yang ingin diberikan D-Herbs selepas mendakwa pengasasnya, Aliff Syukri meminta tanah seluas kira-kira 60 hektar di Jabi, dekat Pokok Sena yang dianggar bernilai lebih RM80 juta.

Bagaimanapun, Aliff Syukri dalam satu sidang media semalam menafikan bawah beliau mahu menggadai tanah Kedah seperti yang didakwa Ahmad Bashah.

Aliff juga dalam sidang media itu tidak menolak akan mengemukakan saman malu terhadap KFA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.