DAP bagaimanapun berjaya mempertahankan Pujut dalam pertandingan empat penjuru, dengan majoriti selesa 1,759 undi.
“DAP akan kembali,” begitu kata pemenang kerusi Pujut, Ting Tiong Choon mengulas prestasi partinya yang mengecewakan di utara Sarawak.
“Pastinya kami akan mengkaji keputusan pilihan raya kali ini. Barangkali kita tidak melakukan yang sehabis baik dalam beberapa aspek lalu menyebabkan penyokong tegar kami berpaling muka,” katanya.
Mengulas kemenangannya di Pujut, Tiong Choon berterima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepadanya.
“Sebagai ADUN, saya akan pastikan Adenan menunaikan janji-janjinya.
“Sekurang-kurangnya warga Pujut tahu wang dan politik bukan gandingan yang baik,” katanya merujuk kepada pencabarnya, Datuk Hii King Chiong yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya.
Sementara itu, calon DAP Senadin, Dr Bob Baru Langub meminta maaf kepada para penyokong parti atas sebarang kekurangan sepanjang berkempen.
DAP gagal merampas Senadin walaupun penyandang Datuk Dr Lee Kim Shin memenangi kerusi itu dengan majoriti 58 undi sahaja.
Kim Shin mengukuhkan kedudukannya dengan majoriti selesa 3,538 undi.
“Usah bersedih, kita masih berpegang kepada prinsip dan matlamat kita untuk negara yang lebih baik,” kata Bob.
Sementara itu, calon DAP Piasau, Alan Ling mengaku kalah sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan rasmi.
Apabila keputusan rasmi diumumkan, calon BN, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menang dengan majoriti 2,112 undi.
Mengulas prestasi DAP secara keseluruhannya, Alan mengakui populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan gejala politik wang menjejaskan prestasi mereka kali ini.
“Pertamanya peluang di sini 50-50. Saya terima keputusan rakyat.
“Saya sangat kecewa tetapi saya terima keputusan pengundi,” kata Alan.