Tindakan yang akan diambil mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) dijangka dilaksa serta-merta oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Perkara itu akan didedahkan menerusi sebuah pra tonton iklan pengasingan sisa pepejal di punca yang ditayangkan selama 30 saat di pawagam MBO, Subang Parade oleh kementerian tersebut pada malam ini, lapor Bernama.
Menerusi tayangan iklan, dimaklumkan kadar kompaun RM50 dikenakan kepada premis bertanah bagi kesalahan pertama, RM100 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.
Bagi premis bertingkat, kadar kompaun yang dikenakan ke atas Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi kesalahan pertama adalah sebanyak RM100, RM200 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.
Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca diumumkan pada 1 September lalu meliputi negeri-negeri yang telah menerima pakai Akta 672 iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
Langkah ini diambil selepas mendapati ia mampu mengurangkan peratusan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sehingga 40 peratus, ia juga dijangka dapat meningkatkan kadar kitar semula melebihi 22 peratus menjelang 2020.
Daripada 33,000 tan sisa pepejal yang dikumpul setiap hari, hanya 10.5 peratus daripadanya dikitar semula manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan.