Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra, Datuk Radhuana Salleh berkata, pemain naturalisasi berusia 18 tahun itu meninggal kira-kira jam 4 petang selepas dirawat kira-kira 21 hari di hospital itu.
Beliau berkata, mayat Petrovski telah dibawa ke Hospital Melaka, kira-kira jam 6.50 petang semalam untuk proses bedah siasat.
“Mendiang Petrovski bergantung pada alat bantuan pernafasan sepanjang dimasukkan ke Hospital Putra pada 11 April lepas,” katanya kepada pemberita semalam.
Petrovski dilaporkan dipanah petir selepas selesai menjalani latihan dengan pasukannya di Krubong, berhampiran Stadium Hang Jebat, pada 5 April lepas.
Beliau mengalami “hypoxic ischemia” kerana kekurangan bekalan oksigen ke otaknya akibat serangan jantung susulan insiden tersebut.
Pemain kelahiran Australia yang menandatangani kontrak tiga tahun bersama Melaka United pada Januari lepas, dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan selepas dipanah petir sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Putra.
Pemain itu mewakili pasukan remaja Sydney Olympic FC di Australia sebelum berpindah ke Melaka United musim ini.
Sementara itu, ibu mendiang Marie Lupang ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka enggan ditemu bual kerana masih sedih atas kehilangan anak tunggalnya itu.
– BERNAMA