MTUC mahu gaji minimum Malaysia Barat, Timur selaras

MTUC mahu gaji minimum Malaysia Barat, Timur selaras

MTUC menyifatkan penetapan gaji minimum yang berbeza antara dua bahagian Malaysia itu sebagai diskriminasi.

Abdullah-Sani
PETALING JAYA: Mengapa gaji minimum di Sabah, Sarawak dan Labuan lebih kecil berbanding Semenanjung sedangkan kos sara hidup disana lebih tinggi, soal Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Menyifatkan pengkelasan berbeza sebagai diskriminasi, Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa kerajaan supaya memiawaikan (standardized) gaji minimum antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur dan ke paras yang bersesuaian dengan kos sara hidup hari ini.

“Adakah yang sana (Sabah, Sarawak dan Labuan) itu kita anggap sebagai pekerja tidak ada kelas? Dia pun rakyat Malaysia, kita pun rakyat Malaysia.

“Kenapa perlu letak kelas diantara Sabah, Sarawak dan Labuan? Kita tidak boleh diskriminasi setiap pekerja di Malaysia,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, Abdullah menolak ketetapan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 dan menggesa agar gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,200 untuk semua kawasan.

Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem mengumumkan penetapan PGM 2016 sebanyak RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejak bagi Semenanjung dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan berkuatkuasa 1 Jul.

Gaji minimum harian pula tertakluk kepada jumlah jam bekerja maksimum seminggu bersamaan RM38.46 untuk enam hari bekerja dalam seminggu bagi Semenanjung dan RM35.38 untuk enam hari bekerja bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

“MTUC menegaskan dalam keadaan sekarang RM1,000 itu tidak mencukupi. Hal ini kerana kehidupan rakyat dalam keadaan sengsara kerana terpaksa menanggung kenaikan harga barang dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” jelas Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.