‘Jangan mimpi ada projek jika pembangkang menang’

‘Jangan mimpi ada projek jika pembangkang menang’

"Adun sesebuah kawasan perlu memiliki hubungan yang baik dengan kerajaan."

telang-usan

MARUDI:
Tidak akan ada projek pembangunan di Telang Usan untuk lima tahun akan datang jika DUN itu dimenangi pembangkang!

Demikian tegas Dennis Ngau yang akui bagi membolehkan setiap rancangan pembangunan berjalan lancar, ADUN sesebuah kawasan perlu memiliki hubungan yang baik dengan kerajaan.

“Apa-apa keputusan saya terima. Tapi jika Telang Usan jatuh ke tangan pembangkang, jangan harap, jangan mimpi akan ada apa-apa projek di kawasan ini.

“Walaupun pembangkang itu jutawan sekalipun, dia tidak akan dapat guna duit sendiri untuk bawa projek infrastruktur,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis di Kampung Long Lama hari ini.

Pada PRN 2011, Dennis menewaskan calon PKR, SNAP dan bebas dengan kelebihan 845 undi.

Walaupun telah gigih berkhidmat sepanjang lima tahun ini, beliau tetap tidak menganggap ‘Telang Usan’ sebagai kawasan selamat.

“Boleh dikatakan setiap kali pilihanraya, Telang Usan adalah ‘kawasan hitam’. ekoran pelbagai isu; empangan Baram, tanah, balak sehinggalah isu anak Penan dirogol.

“Dan kebanyakannya adalah propaganda. Hakikat sebenar tidak pun begitu,” katanya.

Kali ini, katanya lagi, antara isu yang mendapat perhatian utama adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu tanah.

“Tentang GST, kami jawab kepada pengundi bahawa sebahagian daripada peruntukan BR1M datang daripada sistem itu. Kalau tak suka GST, jangan ambil BR1M,” katanya.

Isu tanah pula baginya bukanlah perkara baru dan malah ‘tidak akan selesai sehingga kiamat’.

“Isu tanah di pedalaman sangat rumit. Tiada satu parti pun, sama ada BN mahupun pembangkang, yang boleh kata mampu selesaikannya jika mentadbir negeri.

“Tetapi kerajaan (BN) sentiasa bersungguh-sungguh untuk mencari jalan menyelesaikannya,” katanya lagi.

Calon PKR DUN Telang Usan, Roland Engan adalah peguam yang sering mengangkat isu hak tanah adat (NCR) di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.