Saya masih lagi Menteri Besar – Ahmad Razif

Saya masih lagi Menteri Besar – Ahmad Razif

Tugas terus digalas selagi diberi mandat, tegas pemimpin UMNO itu.

Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU:
Tugas terus digalas selagi diberi mandat, jawab Ahmad Razif Abdul Rahman ketika ditanya mengenai status jawatannya.

“Saya masih lagi Menteri Besar, masih lagi dengan jawatan ini. Saya akan teruskan,” katanya seusai merasmikan Majlis Upacara Pecah Tanah Terengganu Halal Business Center dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) hari ini.

Desas desus pertukaran Menteri Besar bertiup kencang di negeri Penyu susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa 22 April lalu.

Spekulasi semakin deras apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan akan menghadap baginda dalam masa terdekat bagi membincangkan kemelut jawatan Menteri Besar namun sehingga kini pertemuan itu belum berlaku.

Ketika diajukan soalan berkenaan pelucutan darjah kebesaran dan khabar angin beliau akan disingkirkan, ADUN Seberang Takir memilih untuk mengunci mulut.

“Saya tidak mahu buat ulasan, tidak ada apa-apa ulasan saya minta maaf,” katanya sambil tersenyum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.