KPN nafi pergerakan Dr Sam dipantau

KPN nafi pergerakan Dr Sam dipantau

Razarudin Husain berkata menteri besar Terengganu itu bukan penjenayah atau suspek yang perlu dipantau.

raza
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya tahu pergerakan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar kerana pegawai polis sentiasa ada bersama untuk menjaga keselamatannya.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihak berkuasa tidak pernah meletakkan nama Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai individu berisiko sehingga menyebabkan pergerakan menteri besar Terengganu itu dipantau ketat.

Razarudin berkata, istilah TCO digunakan Samsuri juga tidak tepat kerana TCO atau ‘travel control officer’ (pegawai kawalan perjalanan) sebenarnya adalah jawatan pegawai polis cawangan khas yang bertugas di pintu keluar masuk negara, lapor Berita Harian.

“TCO bertugas di pintu keluar masuk negara sama ada di lapangan terbang atau di Bukit Kayu Hitam yang mempunyai tugasan tertentu.

“Mungkin apa yang dimaksudkan Samsuri itu adalah Senarai Pekeliling Khas (SPK) tetapi nama beliau tidak ada dalam senarai kerana dia bukan penjenayah atau suspek,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, nama yang ada dalam SPK adalah suspek bagi kes tertentu termasuk jenayah, narkotik atau individu yang terbabit dalam kes 3R (agama, kaum dan raja) yang perlu ditangkap jika mereka memasuki negara ini.

Beliau berkata, pegawai TCO yang bertugas di pintu masuk negara bekerjasama dengan pegawai imigresen dan kastam bagi melakukan risikan serta meneliti senarai suspek dalam SPK bagi membolehkan tangkapan dibuat untuk tindakan lanjut.

Razarudin yang menafikan polis memintas telefon Samsuri berkata kemungkinan menteri besar Terengganu itu tidak selesa apabila pegawai TCO di laluan VIP untuk keluar negara bertanya ke mana beliau mahu pergi.

“Sebenarnya kita tahu pergerakan Samsuri kerana pegawai polis sentiasa ada bersamanya sepanjang masa untuk menjaga keselamatannya,” katanya.

Semalam, Samsuri dilapor mendakwa dilabel dan ditanda sebagai individu bawah status TCO sejak pertengahan tahun lalu.

Beliau yang dikenali Dr Sam mendakwa diletakkan bawah TCO, yang menurutnya menandakan sebagai individu berisiko dalam sistem kawalan sempadan Malaysia.

Selain dirinya, Samsuri mendakwa seorang lagi tokoh utama pembangkang turut dikenakan TCO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.