Dilabel TCO, Dr Sam dakwa dirinya dianggap penjenayah

Dilabel TCO, Dr Sam dakwa dirinya dianggap penjenayah

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dakwa pergerakan, komunikasi dan interaksinya dipantau senyap dan menyeluruh.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar dakwa ada seorang lagi tokoh pembangkang berdepan label TCO. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau seolah-olah dianggap penjenayah berbahaya atau persona non grata di tanah air sendiri selepas diletakkan di bawah perintah kawalan perjalanan (TCO).

Naib presiden PAS itu mendakwa keadaan itu menyebabkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi dipantau secara menyeluruh dan senyap dilakukan atas nama keselamatan negara atau kestabilan politik.

Namun dakwanya tindakan itu dibuat sebagai alat politik dan cara mudah untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu.

“Bagaimana saya tahu semua ini? Sebenarnya, kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang.

“Kita tidak perlu mempunyai ilmu counter-surveillance untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita – kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter) dan sebagainya,” katanya di Facebook.

Beliau turut mendakwa selain dirinya, ada seorang lagi tokoh utama pembangkang juga berdepan label tier TCO terbabit dan mereka tidak akan berdiam diri.

“Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini – satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan mengubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.

“Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen sama juga digunakan terhadap orang awam, NGO, badan bebas dan sesiapa sahaja mempunyai pandangan tidak sehaluan dengan parti pemerintah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.