Saya akan berundur bila tiba masanya – Teng Chang Yeow

Saya akan berundur bila tiba masanya – Teng Chang Yeow

Chang Yeow berkata, seseorang ahli politik itu perlu berundur apabila tiba masanya atau mereka akan digulingkan.

Teng-Chang-Yeow
PETALING JAYA: Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menafikan beliau akan melepaskan jawatannya dalam parti itu.

Jelasnya, beliau sekadar membayangkan kepada Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong pada Mac lalu yang beliau sedia memberi laluan kepada generasi muda.

“Saya ada sebut perkara ini kepada wartawan, tetapi saya tak kata akan berundur.

“Kita semua perlu berundur pada akhirnya untuk memberi laluan kepada pemimpin eselon kedua,” katanya kepada The Star.

Sebuah portal berita sebelum ini membuat spekulasi Chang Yeow akan menyerahkan surat peletakan jawatannya pada mesyuarat GERAKAN negeri, 9 Mei ini, tetapi masih kekal sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang.

Sementara itu, China Press memetik Chang Yeow sebagai berkata, beliau akan berundur apabila tiba masanya.

Ini kerana, tegasnya, cara dan pemikiran politiknya tidak lagi relevan dengan zaman ini, bagaimanapun sebelum berundur, beliau perlu melaksanakan penstrukturan semula GERAKAN Pulau Pinang.

Menurunya, seseorang ahli politik itu perlu berundur apabila tiba masanya atau mereka akan digulingkan.

“Saya selalu kata, masa dilantik ke jawatan jangan terlalu gembira, masa lepaskan jawatan pun jangan terlalu risau. Zaman ini bukan lagi milik saya, jadi saya perlu menilai apa fungsi saya dalam politik.

 

“Tiada orang yang akan menjadi menteri atau pengerusi selamanya, kecuali raja pada zaman dahulu kala. Dalam zaman demokrasi ini, kita perlu berundur, jika kita dapati diri sudah tidak sesuai dengan zaman ini.

“Jika tidak mampu mengubah situasi politik baru dalam GERAKAN, maka ini bermakna masa (saya) sudah sampai,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu semalam.

Menurutnya, ada beberapa faktor yang akan mendorong beliau untuk berundur, antaranya perebutan kuasa dalam parti.

Pada masa sama, katanya, selepas membuat keputusan untuk berundur, beliau tidak akan menerima sebarang pujuk rayu lagi, kerana tindakan berundur bukan untuk menguji populariti sendiri dalam parti, sebaliknya ia demi masa depan GERAKAN.

Mengenai khabar angin beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Chang Yeow berkata, beliau tidak boleh menghalang orang lain daripada membuat spekulasi.

Jelasnya, selagi beliau masih berada dalam parti itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang akan terus mengaitkan masalah di negeri itu dengan GERAKAN.

“Jika saya berundur dan kerajaan negeri masih menuding jari kepada kerajaan negeri pimpinan GERAKAN dahulu, ini membuktikan kerajaan negeri sekarang tidak mempunyai dasar atau menjadikan dasar dahulu sebagai dasarnya sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.