MB akui MMKN tak pernah bincang isu pulau

MB akui MMKN tak pernah bincang isu pulau

Ahmad Rafiz menjelaskan Menteri Besar tidak ada kuasa eksklusif untuk meluluskan permohonan Dr Zakir Naik

razif-zakir-pulau

KUALA TERENGGANU:
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui perkara pemberian pulau kepada pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Ahmad Razif, perkara itu sekadar dibincangkan secara lisan antara Dr Zakir dan dirinya.

“Isu ini mana boleh kita bincang (dalam MMKN) jika tidak ada permohonan secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Terengganu Halal Business Center dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) di Gong Badak, hari ini.

Ahmad Razif turut menafikan pulau tersebut telah diberikan kepada Dr Zakir. Menurutnya, Dr Zakir yang memohon supaya diberikan pulau bagi membolehkan beliau mengembangkan dakwahnya di Malaysia.

“Isu ini salah faham. Dr Zakir Naik ada membuat permohonan kalau boleh diberikan (pulau) dan kita kata ‘OK’ (boleh dipertimbangkan), sebab kita nampak ia boleh jadi satu tarikan untuk mempromosikan pelancongan negeri Terengganu.

“Pihak Kerajaan Negeri telah meminta pihak Dr Zakir untuk memberi kertas cadangan kepada kita, dan kita menunggu apakah cadangan beliau,” katanya.

Menjelaskan proses permohonan itu kepada media, Ahmad Razif berkata pihak pemohon terlebih dahulu perlu melalui peringkat pihak pentadbiran daerah dan pejabat tanah sebelum sebarang kertas cadangan dibawa ke MMKN.

“Menteri Besar tidak ada kuasa eksklusif (untuk luluskan pemberian pulau), kalau macam itu senanglah saya bagi pada sesiapa,” tegasnya.

Kenyataan daripada Menteri Besar mengesahkan kenyataan daripada EXCO Ghazali Taib yang mendedahkan perkara pemberian pulau kepada Dr Zakir tidak pernah dibincangkan dalam MMKN.

Namun, EXCO Nawi Mohamad hari ini dilaporkan telah menyangkal kenyataan Ghazali dan mendakwa ia telah dibincangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.