El Nino antara punca pelajar diserang histeria

El Nino antara punca pelajar diserang histeria

Apabila badan lemah, ia akan memudahkan jin masuk ke dalam tubuh manusia.

elnino-histeria
PETALING JAYA: Fenomena El Nino dikatakan salah satu punca berlakunya kejadian histeria yang melibatkan 45 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2.

Menurut Pengerusi Persatuan Darussifa’ Kelantan, Zaki Ya, keadaan badan yang lemah akibat menanggung panas, akan memudahkan jin masuk ke dalam tubuh manusia.

“Cuaca panas menjadi faktor pelajar histeria iaitu apabila keupayaan badan lemah, ia memudahkan jin masuk ke dalam badan,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Ujarnya lagi, berdasarkan pengalaman, kes histeria banyak berlaku pada tahun genap berbanding tahun ganjil.

“Jin suka pada tahun genap dan kenyataan ini dibuat berdasarkan pengalaman serta rekod kami semasa merawat, contohnya pada tahun 2014, kes paling besar berlaku di SMK Padang Enggang dan pada tahun 2016 pula di SMK Pengkalan Chepa.

“Wallahuaklam, itu teori sahaja, berdasarkan rekod rawatan kami,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zaki juga tidak menolak kejadian histeria mungkin berunsur pengkhianatan pihak-pihak tertentu untuk melemahkan pentadbiran pihak sekolah.

“Saya pergi sendiri, jadi saya tidak menolak kemungkinan masalah ini berunsur pengkhianatan yang dianggap menambahkan keadaan huru-hara dan sehingga kini (semalam), kejadian histeria masih berlaku.

“Jarang guru terkena histeria, sebab itulah kami tidak menolak kemungkinan ia adalah perbuatan pengkhianatan bertujuan melemahkan pentadbiran sekolah, sebab itulah kes ini berlarutan dan selagi ia tidak dirawat, selagi itulah ia tidak tenang,” jelasnya.

Tambahnya, sepatutnya setelah tiga hari rawatan, keadaan di sekolah itu menjadi tenang semula namun Zaki mendakwa ada pihak yang seolah-olah ‘top up’ (cubaan menambah kuasa gangguan) untuk terus menjadikan sekolah itu huru-hara.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.