Adenan menegaskan, wartawan itu “ternyata salah petik” Dr Annuar dan “kata-katanya telah diputarbelitkan”.
“Tolong lapor saya dengan tepat. Jangan biarkan kecenderungan politik anda memutarbelitkan apa yang saya kata. Satu contoh baik ialah (mengenai) Dr Annuar.
“Beliau ternyata disalah petik dan kata-katanya diputarbelitkan dan orang yang bertanggungjawab itu, saya rasa telah (balik ke Semenanjung).
“Tetapi, bukan semua (wartawan) Malaysiakini seperti itu. Namun, orang tertentu ini telah salah petik dan memutarbelitkan apa yang dikatakan Dr Annuar,” katanya dalam satu sidang media, semalam.
Ahad lalu, polis mengesahkan telah mula menyiasat satu artikel yang disiarkan Malaysiakini berhubung Dr Annuar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar MM Sree Shunmugam dilaporkan sebagai berkata, enam laporan polis telah diterima berhubung artikel yang ditulis seorang wartawan Malaysiakini.
Laporan polis itu mendakwa artikel terbabit telah mengganggu ketenteraman awam di Sarawak.
Dev Kumar berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jumaat lalu, Dr Annuar mengadu kenyataannya mengenai umat Islam di Sarawak yang dilaporkan Malaysiakini, telah dipetik di luar konteks ucapannya.
Beliau menafikan pernah menggesa umat Islam di Sarawak mengundi BN, bagi memastikan seorang Ketua Menteri beragama Islam dapat memimpin negeri itu.
Sebaliknya, beliau hanya menggesa umat Islam bersyukur, kerana kaum lain sanggup menyokong dan mempercayai umat Islam menjadi pemimpin dan menyeru rakyat Sarawak terus menyokong Adenan.
Malaysiakini bagaimanapun mempertahankan laporan itu yang turut memetik Dr Annuar sebagai menafikan beliau memainkan isu perkauman dan agama.