Usul tolak Najib: Dua cawangan UMNO akan terima padah

Usul tolak Najib: Dua cawangan UMNO akan terima padah

Dua cawangan UMNO itu dianggap bertindak tidak mengikut saluran yang ditetapkan perlembagaan dan peraturan parti.

Datuk-Hanafi-Mamat

PETALING JAYA:
Tindakan tegas akan diambil terhadap UMNO Cawangan Lepan Simpol dan Banggol Judah dalam Bahagian Machang yang bertindak menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat berkata, dua cawangan itu akan dikenakan tindakan, kerana dianggap bertindak tidak mengikut saluran ditetapkan perlembagaan dan peraturan parti.

“Sepatutnya, mereka guna saluran yang dibenarkan untuk mengkritik atau menegur, di mana semua ahli sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, tetapi bila secara terbuka tentang presiden, maka bersedialah untuk dikenakan tindakan.

“Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya UMNO. Kita tidak menyekat ahli untuk tegur kepimpinan, tapi tegur dengan berhemah. Jangan sampai menyertai gerakan yang mahu menjatuhkan presiden hingga menjejaskan perjalanan parti,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu bagaimanapun percaya, tindakan dua cawangan tersebut tidak menjejaskan parti secara keseluruhan di Kelantan, malah tidak memberi kesan kepada kedudukan Najib.

“Kita sebagai pengundi ada hak untuk memilih, tetapi kena tunggu pilihan raya umum dan begitu juga dalam parti, kita ada hak untuk memilih atau menyokong pemimpin untuk sandang mana-mana jawatan, tetapi tunggu pemilihan parti dan sekarang bukan musimnya.

“Kita (boleh) menerima teguran demi kebaikan bersama, UMNO sangat demokrasi, tetapi biar kena dengan caranya,” katanya.

Sebelum ini, usul menolak Najib itu diterima tanpa bahas oleh kira-kira 70 ahli yang hadir pada mesyuarat bersama dua cawangan tersebut, pada Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.