Jamal mendakwa, Azmin mempunyai sikap suka bermain wayang dengan turun padang menyelesaikan masalah, sekaligus menonjolkan dirinya sebagai pemimpin.
Bagaimanapun katanya, tindakan Azmin turun padang itu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, malah menjadikan ia semakin buruk sehingga rakyat terpaksa menanggungnya.
“Dia (Azmin) dulu pergi ke Sekinchan tengok longkang sumbat dan sebagainya. Itulah sekali dan kini longkang itu tetap tersumbat dan nyamuk pula bertambah banyak.
“Begitu juga apabila dia pergi ke sawah dan sebagainya sembur racun, tapi sawah itu akhirnya rosak dan tiada apa-apa. Inilah Azmin ‘suwey’. Saya anggap dia ini sebagai satu menteri besar yang ‘suwey’,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membidas sikap Azmin yang menyifatkan tindakan polis menyiasat beliau berhubung papan tanda #BebasAnwar di beberapa lokasi di Selangor sebagai membuang masa.
Semalam, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dipetik sebagai berkata, polis hanya membuang masa dengan melakukan siasatan itu kerana berpendirian tindakan menaikkan papan iklan itu tidak salah.
Dalam perkembangan lain, Jamal berkata, beliau berlepas ke Pekanbaru, Indonesia, hari ini bertujuan untuk menyelesaikan urusan pembebasan dua nelayan Malaysia, Heng Chee Yong, 29, dan Chua Lee Teck, 46, yang ditahan pihak berkuasa negara itu pada bulan lalu.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Chee Yong dan Lee Teck akan didakwa di mahkamah di Pekanbaru, esok.
Minggu lalu, Kementerian Luar memulakan usaha bersepadu bagi membebaskan tiga bot nelayan Malaysia dan anak kapalnya yang ditahan pihak berkuasa Indonesia, Mac lalu.
Kementerian Luar juga tidak menolak kemungkinan bahawa bot nelayan Malaysia dan dua tekongnya, iaitu Chee Yong dan Lee Teck ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika menangkap ikan dalam perairan Malaysia.