Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bekalan antivenom yang digunakan untuk rawatan patukan ular berbisa, boleh diperoleh di semua hospital kerajaan di negara ini.
“Bukan semua ular yang patuk itu berbisa. Terdapat dua jenis ular, satu yang berbisa dan satu bukan berbisa. Jadi, antivenom hanya digunakan untuk patukan ular yang berbisa sahaja dan antivenom itu kita jamin bekalannya memang mencukupi,” katanya di Lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas beberapa kes pelajar dipatuk ular, terbaru seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berasrama penuh, Sekolah Dato’ Abdul Razak Sungai Gadut, Seremban, yang dipatuk ular pada Sabtu lalu dan kes seorang murid tahun dua yang dipatuk ular dalam kawasan sekolah, semasa kelas Pendidikan Jasmani di padang sekolahnya di Rembau, Rabu lalu.
Selain itu, seorang murid tahun satu, Nuri Nadirah Roslan, 7, meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular di Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 1, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, 19 April lalu.
Dalam perkembangan lain, pada sesi soal jawab di Dewan Negara, Dr Subramaniam berkata, beberapa kajian lanjutan perlu dilakukan, sebelum kerajaan membuat keputusan mengenai penggunaan vaksin denggi di negara ini dan keputusan mengenai kelulusan penggunaan vaksin itu akan dibuat pada Jun atau Julai ini.
Katanya, syarikat farmasi telah mengemukakan penilaian dan vaksin akan didaftarkan dalam negara, namun terpulang kepada kerajaan untuk menentukan bagaimana vaksin itu boleh digunakan.
“Berdasarkan hasil kajian yang ada, ia akan menjadi garis panduan bagaimana ia boleh digunakan, kita jangka keputusan boleh dibuat pada bulan Jun atau Julai akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Chandra Mohan S Tambirajah yang mahukan kepastian, adakah Malaysia akan mengikut jejak langkah Filipina menjadi negara Asia pertama meluluskan penjualan vaksin demam denggi pertama di dunia, baru-baru ini.
Dr Subramaniam berkata, berdasarkan hasil kajian, vaksin denggi tersebut boleh mengurangkan kes-kes denggi serius dan mengurangkan jumlah kes perlu dimasukkan ke hospital dan ia adalah petunjuk baik.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin mengenai kaedah dan teknik mengawal pembiakan nyamuk Aedes bagi membendung denggi, Dr Subramaniam berkata, sehingga 5 April lalum sebanyak 574 lot tanah kosong di seluruh negara telah dibersihkan sebagai satu daripada cara mengawal pembiakan Aedes.
Selain itu, katanya, Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara dalam tempoh dua bulan, bermula 11 April lalu, terutama di lokasi ‘panas’ dan wabak.
– BERNAMA