Demikian diramalkan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menjangka pengundi akan terus kekal bersama BN.
Katanya, risiko BN untuk kalah dalam pilihan raya adalah tipis kerana pembangkang gagal bersepakat dan menonjolkan diri sebagai pilihan untuk menjadi kerajaan.
“Rakyat marah BN tapi dia nak pilih siapa? Siapa alternatif? Tiada. Ada pembangkang pun tapi asyik berkelahi… jadi tak ada alternatif.
“Jadi BN kalah itu tipis sekali. BN tak boleh kalah kerana rakyat tahu tiada alternatif. Jadi rakyat cuma boleh rayu kerajaan supaya berubah, jangan ada kroni dan jangan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran IKATAN Selangor yang diadakan di Taman Melawati di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi IKATAN Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman.
Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11), Abdul Kadir berkata, IKATAN akan turun padang dan membantu calon PAS di bumi Kenyalang.
Katanya, IKATAN akan memperkasakan jentera pilihan raya PAS di negeri itu dan membantu daripada aspek kerja kempen.
“IKATAN akan bantu PAS di Sarawak. Depa (mereka) geng kami la (sekarang) ini. Kami akan tolong berkempen. Hendak bagi duit kami tak ada duit. Saya sendiri akan turun ke Sarawak nanti,” katanya.
