Lelaki maut dilanggar lori akibat dendam

Lelaki maut dilanggar lori akibat dendam

Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai sengaja dilanggar pemandu lori itu kerana dendam, selepas bergaduh dengan seorang ahli keluarganya

dead

TAIPING:
Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kecederaan pada bahagian kepala, selain patah tangan kanan di kawasan Larut Tin Sambungan, Pokok Assam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa yang berumur 25 tahun dari Jalan Simpang, dipercayai dilanggar sebuah lori, selepas satu pergaduhan.

Katanya, polis menerima maklumat mengenai satu kemalangan maut di kawasan berkenaan, kira-kira jam 5 petang dan sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia.

“Polis turut menemui sebuah motosikal serta sebilah parang dengan kesan darah berdekatan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harrith Kam berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang rakan telah dilanggar sebuah lori, sebelum pemandunya melarikan diri.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai sengaja dilanggar pemandu lori itu kerana dendam, selepas bergaduh dengan seorang ahli keluarganya.

Beliau berkata, pemandu lori itu berjaya ditangkap di Hospital Taiping pada jam 8 malam semalam.

Turut ditangkap ialah pembonceng motosikal serta seorang lelaki yang bergaduh dengan mangsa.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.