NUFAM gesa Khazanah tidak berbohong

NUFAM gesa Khazanah tidak berbohong

Cerita sebenar pemberhentian Mueller harus dimaklumkan kepada semua orang.

NUFAM

PETALING JAYA:
Kesatuan Kebangsaaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa Khazanah Nasional supaya tidak berbohong kepada pekerja Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung isu pemberhentian Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller.

Menerusi kenyataan hari ini, NUFAM berkata, cerita sebenar pemberhentian Mueller harus dimaklumkan kepada umum kerana pemilihannya ada kaitan dengan pembuangan 6,000 pekerja dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines System Berhad (MAS).

Perkara itu katanya, turut melibatkan maruah syarikat penerbangan di negara ini.
“Soalnya apakah punca sebenar CEO Muller diberhentikan, adakah ia ada kaitan dengan tindakan ‘liar’ beliau semasa berada di Malaysia?

“NUFAM juga dimaklumkan bahawa isu ‘peribadi’ bukan punca sebenarnya beliau berhenti dan ia sungguh tidak masuk akal apabila Mueller dinyatakan telah membawa banyak perubahan dan keuntungan untuk merealisasikan matlamat penstrukturan syarikat penerbangan negara itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, berkemungkinan sikap Mueller yang terlampau lantang menyuarakan isu kerugian MAS selama ini menyebabkan beliau tidak disenangi.

Katanya, ini kerana Mueller sendiri telah mengumumkan kepada orang ramai berhubung isu kerugian besar syarikat penerbangan negara pada tahun lalu seperti terlampau banyak pekerja, bayaran elaun basikal yang tidak direkodkan dan juga bayaran kontrak vendor yang tinggi.

“Bagaimanapun isu Muller yang tidak mendapat restu daripada banyak pihak telah memberi persepsi positif yang sebenar kenapa MAS rugi besar.

“Tidak ada CEO yang betul-betul boleh memberikan maklumat sebenar seperti ini jika tidak adanya sebab isu kebocoran yang tetap melanda di dalam syarikat MAB.

“NUFAM menyatakan mereka telah menerima maklumat sebenar mengapa Muller diberhentikan tetapi ingin mendengar cerita sebenar dari pihak Khazanah Nasional sendiri jika mereka betul-betul telus dengan polisi perubahan dalam syarikat MAB.

“Isu ini tidak boleh ditutupkan semata-mata untuk menjaga nama baik pihak tertentu kerana penstrukturan MAS dan MAB telah menelan belanja sebanyak RM6 bilion dan ia juga menyebabkan 6,000 pekerja telah diberhentikan oleh pihak Khazanah Nasional sendiri,” tegasnya.

Sebelum ini, Mueller yang juga Pengarah Urusan MAB dilaporkan berkata, beliau akan melepaskan jawatannya pada September ini, namun, berhasrat untuk terus berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di syarikat itu.

Mueller menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif pada 1 Januari 2015 dan memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAB pada 1 Mac 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.