Guna nama Sultan, teroka tanah haram

Guna nama Sultan, teroka tanah haram

Tinjauan semasa operasi mendapati kawasan tersebut juga diletakkan papan tanda yang tertera nama 'Sultan Muhammad V'.

Zahari-Ibrahim,TEROKA

PETALING JAYA:
Sindiket meneroka hutan secara haram dikesan menggunakan nama kerabat Sultan Kelantan sekali gus mengaburi mata rakyat di negeri itu.

Jabatan Perhutanan Kelantan yang mendedahkan perkara itu menyatakan lebih tujuh ribu hektar kawasan hutan simpan kekal di kawasan pedalaman Kelantan diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Zahari Ibrahim berkata aktiviti tersebut didalangi sindiket yang menjual tanah dengan menjual nama orang-orang kenamaan dan istana.

“Mereka menjual lot tanah secara haram kepada orang awam,” kata Zahari lapor Astro Awani.

Pada Selasa, satu operasi serbuan dijalankan secara bersama oleh Jabatan Perhutanan Kelantan dan pihak polis ke atas peneroka di Hutan Simpan Kekal Ulu Galas.

Hasil operasi, tiga individu yang dipercayai mengurus serta mengusahakan tanah secara haram berjaya diberkas.

Mereka dipercayai terlibat secara langsung dengan sindiket ini yang telah beroperasi di kawasan tersebut sejak lebih setahun lalu.

“Operasi yang dijalankan semalam adalah satu tindakan bersiri pihak Jabatan Perhutanan untuk tangani isu baharu iaitu menyalahgunakan nama kerabat Sultan Kelantan,” ujar Zahari.

Malah, tinjauan semasa operasi juga mendapati kawasan tersebut juga diletakkan papan tanda yang tertera nama ‘Sultan Muhammad V’.
Dalang-dalang sindiket ini sangat licik mengubah modus operandi bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil masa untuk membuat penangkapan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.