
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Penggubahan Wang Haram Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, SAC Khalil Azlan Chik berkata, lebih 20 hingga 30 kad kredit palsu akan dibekalkan kepada setiap ‘keldai’ untuk membeli barangan berjenama di luar negara.
China Press melaporkan, dalang sindiket itu adalah bekas pegawai sebuah bank tempatan yang berpangkat penyelia.
Suspek berbangsa Cina itu mula terbabit dalam aktiviti penipuan kad kredit palsu sejak 14 tahun lalu.
Dia yang pernah menjadi ‘keldai’ sindiket itu dan dipenjarakan kerana terbabit dalam kegiatan penipuan kad kredit palsu, bertindak mengambil alih sindiket berkenaan daripada majikannya, setahun lalu.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, dalang terbabit akan membeli maklumat kad kredit daripada warga Afrika di luar negara atau penggodam di Internet, sebelum menyerahkan maklumat itu kepada penolongnya yang juga seorang pemilik kedai tayar untuk menghasilkan kad kredit palsu di premisnya.
Seterusnya, dalang itu akan mengupah ‘keldai’ melalui aplikasi Weechat, dengan menyediakan pasport palsu, tiket penerbangan, penginapan dan makan minum percuma sebagai habuan untuk mereka membeli-belah di luar negara.
“Keldai itu akan diberikan 10% komisen, selepas menyerahkan barangan berharga kepada ketua sindiket untuk dijual kepada pelanggan di negara ini pada harga lebih murah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Menurut laporan agensi berita Bernama, polis mula mengesan kegiatan itu sejak November lalu dan telah menahan 20 anggota sindiket itu, termasuk dalang terbabit, pada Sabtu lalu hingga kelmarin.
Mereka yang ditahan dalam serbuan berasingan di Ipoh dan Lembah Klang itu, terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki Nigeria yang semuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun.
Khalil berkata, polis turut merampas 2,371 kad kredit palsu membabitkan pelbagai bank tempatan dan antarabangsa.
“Turut dirampas ialah peralatan memproses kad kredit dan barangan berharga, seperti barang kemas, beg tangan dan jam tangan berjenama serta komputer riba yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta,” katanya sambil menambah, lapan kereta mewah pelbagai model milik anggota sindiket itu turut dirampas.