Bagaimanapun, kerajaan tidak menggalakkan kepercayaan tahyul dan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat atau syirik untuk menangkap hantu, kerana sekolah adalah tempat suci.
Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon yang dipetik China Press berkata, serangan histeria di sekolah bukan kali pertama berlaku, kerana kejadian sama pernah berlaku di beberapa sekolah lain sebelum ini.
Sebelum ini, guru dan pelajar empat sekolah di Kelantan dilaporkan diserang histeria, minggu lalu sehingga menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa II di Kota Bharu diberi cuti peristiwa selama sehari.
“Selain menenangkan emosi mereka yang terjejas dari sudut agama, kami turut memberi kaunseling kepada mereka,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis, hari ini.
Jelasnya, keadaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa II adalah terkawal setakat ini dan Kementerian Pendidikan akan terus memantau perkembangan di sekolah itu.
Beliau berharap kejadian itu tidak akan menjejaskan sekolah lain.
“Kami sudah meminta jabatan pendidikan memantau sekolah-sekolah di daerah sama dan setakat ini, laporan menunjukkan tiada sekolah lain yang diserang histeria,” katanya.