Menurut laporan Sin Chew Daily, seorang daripada tebusan itu, Wong Teck Kang, 31, menghubungi bapanya pada jam 6.15 petang Ahad lalu, bagi memaklumkan mereka perlu mengumpul wang yang banyak dan ditukar kepada mata wang peso, untuk membebaskan beliau dan tiga rakan sekerjanya.
Namun, tidak dinyatakan jumlah wang tebusan yang dituntut kumpulan penculik itu.
Disebabkan kesuntukan masa, keluarga tebusan terpaksa mendapatkan bantuan media untuk mengumpul dana daripada pelbagai pihak, termasuk masyarakat, wakil rakyat dan kerajaan.
Keluarga mangsa culik juga terpaksa menjual harta benda bagi mendapatkan wang mencukupi, selain syarikat perkapalan yang merupakan majikan empat tebusan itu telah berjanji akan memberikan sejumlah wang.
Bagaimanapun, disebabkan jumlah wang tebusan itu amat besar, keluarga mangsa terpaksa merayu orang ramai untuk turut membantu memberikan sumbangan, bagi menyelamatkan empat tebusan.
Keluarga mangsa perlu mendapatkan wang mencukupi untuk ditukarkan kepada mata wang peso pada 25 April itu, sebelum diserahkan kepada orang tengah menjelang 30 April ini, seperti yang ditetapkan kumpulan penculik.
Keempat-empat mangsa culik dari Sarawak itu adalah Teck Kang, Wong Teck Chii, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34 yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6 yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia, pada 1 April lalu.
Difahamkan, empat tebusan Malaysia yang dalam tahanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf itu, kini disembunyikan di kawasan pergunungan Patikul, Pulau Jolo.