Judi haram sukar dibanteras, penguatkuasaan lemah

Judi haram sukar dibanteras, penguatkuasaan lemah

Pengenalan judi dalam talian menarik golongan muda termasuk remaja sekali gus membawa kepada pelbagai gejala sosial.

Tan-Sri-Lee-Lam-Thye_perjudian-haram_600

PETALING JAYA:
Gejala perjudian haram sukar dibasmi kerana ahli masyarakat sendiri dikesan terlibat dalam aktiviti itu selain masalah penguatkuasaan yang longgar.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masalah akar umbi dalam menangani gejala tersebut ialah apabila pihak berkuasa yang sepatutnya bertindak tidak melakukannya secara berkesan.

“Kita mendapati ramai ahli masyarakat sendiri yang turut terjebak dalam tabiat (berjudi secara haram) ini. Ditambah dengan kelemahan pihak penguatkuasa yang tidak mengambil tindakan secara berkesan. Ia melibatkan soal integriti pihak berkuasa itu,” ujarnya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Ditanya tentang pendekatan alternatif yang diambil sindiket perjudian haram menggunakan judi dalam talian, Lam Thye akui ia memberi kesan kepada golongan muda khususnya remaja untuk terlibat sama.

“Pengenalan judi dalam talian menarik golongan muda termasuk remaja untuk terlibat sama dalam aktiviti itu dan membawa kepada pelbagai masalah sosial.

“Aktiviti perjudian akan menyebabkan mereka terdesak memerlukan wang yang banyak. Walaupun hakikat sebenar perjudian ialah kalah permainan dan hilang duit tetapi keinginan untuk bermain lagi akan menyebabkan mereka mencari wang termasuk dengan meminjam.

“Justeru, mereka akan meminta bantuan pinjaman daripada ‘ah long’ sekali gus menjeremus ke dalam beban hutang yang mungkin membawa kesan masa depan yang lebih buruk,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) pula mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) turut sama terlibat membanteras aktiviti perjudian haram di kawasan perumahan selain hanya mengharapkan pihak polis sepanjang masa.

Pengerusinya, Datuk R.Sanjeevan juga kesal apabila jawatankuasa bertindak sesebuah kawasan perumahan juga bersikap tidak mengendahkan aktiviti tersebut.

“PBT menolak tanggungjawab kepada polis, tetapi kita harus sedar tugas polis bukanlah hanya membanteras judi haram.

“Manakala jawatankuasa bertindak pula jangan hanya berani bercakap sahaja tetapi enggan memberi sebarang maklumat kepada pihak polis. Jika begitu, bagaimana polis hendak membuat tangkapan,” soalnya lagi.

Ekoran itu, Sanjeevan mencadangkan ketua sindiket perjudian haram ini ditahan di bawah akta Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.