Jangan cemar Pulau Perhentian dengan pesta maksiat – MAIDAM

Jangan cemar Pulau Perhentian dengan pesta maksiat – MAIDAM

Shaikh Harun menegaskan, sesiapa pun yang mahu menganjurkan pesta 'Full Moon Beach Party' di Pulau Perhentian Kecil, mereka perlu menghormati budaya dan agama penduduk tempatan

MAIDAM_full-moon_600

KUALA TERENGGANU:
“Jangan cemarkan keindahan Pulau Perhentian dengan pesta maksiat,” demikian amaran Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Terengganu, walau apa jua alasan, kerana ia akan memberi impak negatif dalam pelbagai aspek.

“Sesiapa pun yang mahu menganjurkan pesta ‘Full Moon Beach Party’ di Pulau Perhentian Kecil, mereka perlu menghormati budaya dan agama penduduk tempatan.

“Sepertimana kita hormat agama dan budaya mereka, begitu juga mereka perlu hormat kepada kita, walaupun mereka datang ke sini untuk tujuan melancong,” katanya mengulas penyebaran pesta itu yang dikatakan bakal berlangsung pada 19 dan 20 April ini.

MAIDAM juga, katanya, akan memantau perkara tersebut bagi mengelakkan ia diteruskan.

Pagi semalam, Pemuda dan Puteri UMNO Besut serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan terhadap penganjuran pesta itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, bagi meminta pihak berkuasa menghalang pesta tersebut diadakan.

Terdahulu, Shaikh Harun menyampaikan 11 panel al-Quran Braille Elektronik kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu di Kompleks MAIDAM, semalam.

Mengenai fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini, beliau berkata, semua 500 masjid di Terengganu akan mengadakan solat sunat Istisqa, Jumaat ini.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.