Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata demikian selaras dengan tuntutan pembangkang sebelum ini bahawa Kerajaan Sarawak pimpinan Tan Sri Adenan Satem tidak sepatutnya menghalang warganegara memasuki negeri itu.
“Saya memang tidak suka Jamal Yunos kerana bagi saya dia (Jamal) sememangnya seorang rasis, dalam masa yang sama apa yang dilakukan Kerajaan Sarawak pimpinan Adenan (menghalang Jamal masuk Sarawak) itu tidak betul.
“Kerajaan Sarawak perlu memberi kebebasan kepada semua warganegara Malaysia memasuki Sarawak seiring dengan konsep 1Malaysia. Jadi dalam hal Jamal Yunus, biar rakyat Sarawak yang menghukum sama ada dia seorang rasis atau tidak,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Seputeh itu menambah, alasan Adenan menghalang individu yang mencetuskan ketegangan kaum demi menjaga keamanan di negeri itu tidak munasabah.
Katanya, Adenan seperti mempunyai agenda tersendiri, apabila pepimpin pembangkang yang tidak terlibat dalam isu perkauman juga turut dihalang.
“Peliknya bagi kami (pemimpin pembangkang), apabila kami boleh pergi berjalan ke merata negara, tetapi negeri dalam negara sendiri dihalang masuk,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang dihalang masuk Sarawak,menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 7 Mei ini.
Manakala terbaharu, pemimpin UMNO, Jamal Yunos yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 11,30 pagi tadi dihalang dan diarah untuk dihantar pulang ke Semananjung pada kadar segera.
