ASWAJA juga mendakwa Asri membuat kenyataan berunsur fitnah dan jahat apabila menyamakan pertubuhan itu dengan Hindraf.
“InsyaAllah kami akan susuli dengan tindakan mahkamah demi menuntut keadilan. Sebenarnya, ini bukan kali pertama Asri memfitnah Ustaz Zamihan dan ASWAJA.
“Namun, kali ini kami merasakan tidak boleh lagi berdiam diri apabila kenyataannya itu turut berbaur hasutan dan ancaman keselamatan,” kata pertubuhan itu di Facebook.
Sebelum ini, Biro Komunikasi dan Media ASWAJA telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Asri.
Menurut pertubuhan itu, kenyataan yang dibuat Asri yang menuduh ASWAJA membantah kehadiran Dr Zakir ke Malaysia adalah tidak benar selain mendakwa mufti itu mempunyai niat jahat.
“Kami memandang serius perkara ini kerana ia jelas bersifat fitnah yang bukan saja merosakkan nama baik ASWAJA yang tidak pernah sesekali mencampuri urusan ceramah Dr Zakir ke Malaysia apatah lagi membantah kehadirannya.
“Fitnah yang dibuat Asri di Facebooknya juga mengakibatkan Presiden ASWAJA, Zamihan Mat Zin menerima ugutan daripada pengguna Facebook yang boleh mengancam keselamatan beliau,” jelas pertubuhan itu.
Sebelum ini, Dr Mohd Asri dan juga Zamihan pernah bertegang urat dalam isu Wahabi sehinggakan suatu debat antara mereka telah disusun. Bagaimanapun, setelah mendapat nasihat daripada banyak pihak, debat tersebut dibatalkan.
