Aktivis Haris Ibrahim didapati bersalah, dipenjara 8 bulan

Aktivis Haris Ibrahim didapati bersalah, dipenjara 8 bulan

Dia didapati bersalah mengeluarkan kenyataan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan dalam satu forum, tiga tahun lalu.

haris ibrahim

KUALA LUMPUR:
Aktivis Haris Ibrahim dihukum lapan bulan penjara selepas didapati bersalah membuat kenyataan menghasut dalam satu forum, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

“Tertuduh mempunyai kecenderungan untuk mengucapkan kata-kata yang mengajak rakyat untuk menjatuhkan kerajaan, ” katanya

Haris bersama lima yang lain didakwa secara berasingan kerana mengeluarkan kenyataan menghasut untuk menggulingkan kerajaan dalam satu forum pada 13 Mei 2013 di Dewan Perhimpunan Cina KL/Selangor.

Haris didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Haris akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Sebelum ini, aktivis Hishammuddin Rais dijatuhi hukuman penjara sembilan oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan yang sama.

Dia juga membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.